Saturday 17 May 2014

.:KAMU GURU:.

Cikgu, guru, pengajar, pendidik
Inilah insan membuat kita celik
Hari-hari tak pernah serik
Walau pelbagai ragam dan berperagai pelik
Walau dipuji dan kadang-kadang diherdik
Dia terus sabar mendidik

Lihat tanganmu cikgu
Garis kedut itu
Menjadi bukti dan saksi
Ianya pernah bergerak dan melakar
Atas papan hijau
Dengan kapur putih yang mencomotkan tangan
Memutih mengotorkan pakaian
Tapi engkau terus juga mengajar
Mengenalkan huruf-huruf
Yang akhirnya membentuk perkataan yang bermakna
Mengenalkan angka-angka
Yang menjadi gabungan yang bernilai

Gemalai tangan mu menulis itu cikgu
Mengenalkan kami itu bukanlah
Lakaran atau contengan tanpa makna
Gemersik suaramu guru
Mengajarkan kami itu bukanlah
Nyalakan omong kosong
Tapi itulah bunyi sebutan
Apabila sang huruf-huruf itu beratur menjadi perkataan
Hingga kini kami bijak berbicara
Lancar membaca pintar mengira

Oh guru!
Lihatlah anak itu
Pasti masih kau ingat
Berbirat merah tapak tangannya
Kau rotan
Kerna nakalnya dia mengusik sang rakan
Tengoklah dia sekarang
Seorang arkitek melakar bangunan
Yang gah mencecah awan

Oh guru!
Masihkah kau ingat anak itu
Dia pernah ditertawa rakan
Kerana cita-citanya nak jadi jutawan
Kau beri kata perangsang
Katamu “usaha kena kuat, doa pada ar-Rahman”
Kini dia seorang usahawan dermawan
Yang tak pernah lupakan Tuhan

Oh guru!
Lihat anak itu
Yang dahulunya rajin membantumu menggangkat buku
Katamu padanya
“jadilah insan yang berguna”
Ya, tangan itu sekarang
Telah menyalur berjuta semangat
Membantu sehabis daya
Menyelamatkan nyawa dengan izinNya

Oh guru!
Cuba kau jengah di pasar itu
Pasti dia tersenyum memanggilmu
“nah cikgu, saya belanja! Masak sedap-sedap ya”
Selorohnya sambil tersenyum mesra
Dia itu tidak pernah lupa jasa
Walaupun bukan professional bidang kerjanya
Tapi masih berlegar-legar kata
“bersyukurlah dengan apa yg ada, nanti Allah tambah semula”
Alhamdulillah, sekarang dia bahagia
Berasa cukup sentiasa

Ya Allah
Besar syukurku padaMu
Menghantar insan-insan berguna dalam hidupku
Ya Rasulullah
Terima kasih atas usaha yang tak pernah serik
Walau susah dan pahit
Tetap kau teruskan
Hingga tersebar luas ajaran yang kau bawakan

Pada ibu bapa
Kau manusia pertama
Mengajar walau aku belum di depan mata
Di dalam tempat gelap tapi dekat
Bercerita tentang dunia dan akhirat
Membuatkan ku bersemangat

Cikgu, guru, pengajar
Apa jua gelaranmu
Kamu sememangnya guru
Dari tadika, sekolah hingga ke U
Selamat hari guru
Ajaranmu ku ingat selalu

Buat rakan-rakan sekelilingku
Kau juga guru
Kerna selalu memberi nasihat kepadaku
Tak jemu dengar kisahku
Moga di syurga aku akan jumpa kamu.


170514|1257

** buat mama and abah, cikgu2, lecturer2, ci dan semua

No comments: